
Malaysian International Food & Beverage Trade Fair (MIFB) kembali sebagai sebuah acara fizikal dari 6 – 8 Julai 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Acara tersebut bakal menerima kehadiran lebih 200 pempamer dari 15 buah negara dan wilayah. Acara selama 3 hari tersebut merupakan yang terbesar seumpamanya dan dijangka akan menarik lebih 10,000 orang pelawat perniagaan dari seluruh dunia selari dengan pembukaan sempadan negara berikutan peralihan ke fasa endemik Covid-19.
Bertemakan “Future of Food Business”, MIFB 2022 bakal menampilkan solusi, teknologi dan diskusi dengan tumpuan kepada cabaran semasa yang berkaitan rantaian bekalan makanan global seperti kekurangan tenaga kerja dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan makanan, gangguan dalam rangkaian logistik global dan peningkatan kos pengangkutan. Sebagai salah sebuah acara pameran perdagangan utama dalam industri makanan dan minuman, MIFB dilihat dapat memainkan peranan yang signifikan dalam mencorak masa hadapan industri tersebut.

Melihat kepada keperluan mendesak dalam isu sekuriti makanan yang kini menjadi agenda utama banyak negara dan pemain industri, MIFB turut mengetengahkan sebuah kolaborasi bersama Thought For Food Foundation (TFF), sebuah organisasi bukan berdasarkan keuntungan yang memperkasakan lebih 30,000 pemimpin generasi muda dari lebih 175 buah negara dengan tujuan untuk menjana dan mempertingkatkan usaha perniagaan dalam industri makanan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.
Dengan usahasama daripada TFF, MIFB akan menampilkan sebuah segmen pameran dengan tema “The Future Food & AgTech Innovation Extravaganza”. Segmen ini bakal menampilkan produk dan perkhidmatan yang menjanjikan revolusi dalam bidang penghasilan makanan, seperti sistem kebun menegak (vertical farming), sumber protein alternatif, sistem kebun pintar (smart farming), dan akuakultur mampan. “MIFB telah memainkan peranan yang signifikan dalam mencorak masa hadapan industri makanan dan agrikultur di Malaysia dan rantau ini selama 20 tahun,” ujar Henri Tan, Pengarah Projek MIFB. “Kolaborasi bersama TFF membolehkan akses kepada individu dan idea pintar generasi akan datang, ini akan membuka peluang kepada perubahan dan peningkatan kapasiti serta menjana insentif polisi dalam membangunkan dan mempertingkatkan solusi agro makanan dalam menghadapi cabaran mendesak sekuriti makanan tempatan dan global.”
Sebagai dorongan kepada agenda inovasi dan kelestarian, MIFB 2022 turut menjadi medan pengumuman rasmi oleh Artem Ventures dan PitchIN dimana sebuah dana Neo-Consumer Fund bernilai RM50 juta bakal dilaburkan dalam usaha niaga yang berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir (ESG).
Di ruang pameran, MIFB 2022 menawarkan gabungan pempamer antarabangsa baru dan berpengalaman dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan makanan dan minuman. Antara tarikan utama ialah pavilion negara Korea yang berkeluasan lebih 400 meter persegi dan merupakan pavilion terbesar dalam sejarah MIFB. Antara tarikan menarik di pavilion tersebut ialah produk premium dari Korea seperti minuman, rempah ratus, ramuan dan produk herba. Tarikan lain dari seluruh dunia termasuk epal segar dari Poland, buah-buahan kering dan manisan dari Turkiye, teh Ceylon dari Sri Lanka dan lain-lain.
Pembeli dan peniaga juga diberi pilihan ekslusif untuk menyertai sesi padanan perniagaan dimana mereka boleh menyemak senarai penuh pempamer terlebih dahulu dan mengatur pertemuan dengan pembuat keputusan utama yang mampu memangkin kemajuan perniagaan mereka.
“Sebagai sebuah acara dagangan premium, MIFB bangga dengan kemampuan kami dalam menyediakan saluran dan ruang dagangan di kalangan pemain industri. Tahun ini, kami menjangkakan nilai dagangan sekitar USD250 juta bakal dibincangkan dan dijana di sepanjang acara ini. Anggaran ini berdasarkan rentak perniagaan yang mula mencorak langkah mereka secara berperingkat pasca pandemik.” tambah Henri Tan.
Pengunjung juga boleh menyertai sesi taklimat mengenai topik-topik yang relevan seperti sistem keselamatan makanan yang mantap, cabaran dalam pengurusan rantaian bekalan dan kebangkitan “superfood” yang akan dikendalikan oleh pakar industri yang mahir dalam bidang mereka. Sementara itu, chef selebriti Jasbir Kaur, finalis Masterchef Asia musim pertama juga akan tampil dengan demonstrasi masakan enak dan sihat di acara tersebut.
MIFB 2022 disokong penuh oleh Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. MyCEB berfungsi sebagai hab pusat bagi membantu perancang mesyuarat dan acara bagimembida dan mengadakan acara perniagaan antarabangsa di Malaysia, dan bertindak sebagai saluran bagi pembangunan produk nasional kepada semua penganjur tempatan dan antarabangsa. Acara Perniagaan adalah pemangkin pertumbuhan sosio-ekonomi dan membantu meningkatkan kehidupan golongan profesional dan komuniti tempatan di Malaysia.


